Saturday, 3 April 2010
[ JGN MARAH ] - - Melayu Malas Baca Buku!
Kita sering terbaca berita yang mengatakan warga negara kita ini kurang membaca. Daripada kajian dan pukul rata, seorang warga Malaysia dikatakan hanya membaca dua muka surat sahaja untuk satu tahun - berbanding 40 hingga 50 buah buku untuk seorang warga Sweden atau Finland. Hasilnya, buku-buku yang dicetak tidak terjual. Penulis kita agak susah untuk mencari makan. Budaya buku dan budaya ilmu tidak berkembang. Warga negara kita ini tidak ambil pot (peduli) tentang buku dan tulisan. Jauh sekali mereka hendak merapati buku-buku sastera, falsafah atau budaya, pameran lukisan atau pementasan teater. Mengapa ini berlaku? Apakah warga Malaysia ini, terutama manusia Melayu, amat culas dalam hal baca-membaca dan berbudaya? Apakah manusia Melayu ini tidak ada keingian untuk tahu apa yang sedang berlaku di alam sekeliling mereka? Atau apakah manusia Melayu ini telah menjadi begitu mandul sehinggakan mereka tidak dapat lagi melihat apa yang sedang berlaku terhadap keluarga, anak dan dirinya sendiri. Memang betul pada ketika ini proses pembodohan orang Melayu sedang berjalan dengan ligat. Proses ini tidak akan berjaya jika para seniman, para penulis dan para sasaterawan Melayu bangun menentang dan melawan proses pembodohan ini. Di sini peranan penulis, seniman dan sasterawan cukup penting dalam memperkasa kembali fikrah yang selama ini telah diperbodohkan melalui budaya yang disebar luas oleh United Malays National Organisation. Selama lebih 50 tahun hegemoni budaya United Malays National Organistaion telah melakar dan mengkonstruksi cara warga Malaysia terutama manusia Melayu berfikir dan bergerak. Dengan bantuan lembaga - seperti lembaga feudal, lembaga keagamaan, lembaga tradisional Melayu – United Malays National Organisation telah berjaya memagar dan mengikat cara manusia Melayu berfikir dan bergerak. Apabila kita terbaca berita yang mengatakan kita semua ini kurang membaca, maka kita menerima hakikat ini tanpa kita berfikir panjang atau menimbulkan pelbagai persoalan. Sikap ini sikap yang salah - inilah sikap hasil hegemoni budaya United Malays National Organisation. Budaya ini memalaskan kita untuk berfikir. Seharusnya, kita menimbulkan persoalan demi persoalan terhadap kenyataan tadi. Kenapa agaknya manusia Melayu tidak suka membaca? Jika manusia Melayu tidak mahu atau tidak suka membaca buku, maka mari kita selidiki apa sebenarnya isi buku itu. Jika manusia Melayu tidak ingin membaca sebuah novel, maka mari kita selidiki apa yang cuba dipaparkan oleh penulis dalam novel itu. Jika manusia Melayu gagal menghayati sebuah puisi, maka mari kita lihat dan selidiki apa isinya puisi itu. Jika manusia Melayu tidak menghayati sebuah lukisan, maka mari kita selami apa yang telah dilukis. Selama lebih 20 tahun ini, buku-buku daripada tulisan sasterawan kita, buku-buku yang cuba membawa hal ehwal semasa, buku-buku yang dikatakan cuba membuka mata dan hati warga Malaysia – kebanyakannya bergenre bodek. Puisi, teater dan sandiwara yang dipentaskan banyak juga yang membawa unsur-unsur budaya bodek. Budaya bodek ini telah menjadi salah satu ciri yang amat penting dalam proses pembodohan manusia Melayu. Cara untuk memahami budaya bodek ini berkembang dan bergerak cukup senang. Contohnya, ketika di zaman Islam Hadhari dahulu, banyak buku yang ditulis tentang Islam Hadhari. Banyak seminar akademik dianjurkan tentang Islam Hadhari. Ada teater dipentaskan tentang Islam Hadhari. Ada kajian dijalankan tentang Islam Hadhari. Ada lagu, ada puisi, ada musik, ada pameran lukisan tentang Islam Hadhari. Seorang penulis puisi, yang bercita-cita ingin melihat puisinya diterbitkan dalam akhbar, tidak dapat tidak akan melakar Islam Hadhari sebagai tema puisinya. Seorang pensyarah yang ingin membuat kajian ilmiah pasti akan membuat kajian tentang Islam Hadhari. Tindakan mereka ini untuk memastikan kajian ini akan diluluskan oleh universiti dan akan mendapat dana. Di sekolah pula akan ada pertandingan menulis karangan dan esei tentang Islam Hadhari; akan diadakan pertandingan berbahas atau berbalas pantun tentang Islam Hadhari. Sebuah pereka seni papan tanda juga akan meletakkan logo Islam Hadhari agar logo ini akan mendapat kelulusan pihak yang berkuasa sebelum disebarkan di tepi-tepi jalan. Iklan-iklan di akhbar, radio atau tv juga akan menayangkan Islam Hadhari. Drama tv juga mula berkisar dengan Islam Hadhari. Apabila pencadang Islam Hadhari ini tidak ada kuasa lagi, maka semua beralih kepada slogan 'Satu Malaysia'. Proses yang sama akan berulang lagi. Proses membodek tetap berlaku. Justeru inilah caranya hegemoni budaya bodek bergerak dan menyerapi jauh dalam masyarakat kita. Sebenarnya orang ramai tahu – semua yang terpampang ini adalah bodek. Malah si penulis, si penyair, si pengkaji, si pembikin teater, si pencipta lagu, si pereka – semua mereka tahu bahawa apa yang mereka buat itu adalah membodek orang yang berkuasa ketika itu. Justeru kerja bodek mereka tidak membawa apa-apa yang menakjubkan. Kerja-kerja bodek tidak menarik. Kerja-kerja seni bodek tidak akan membuka pandangan orang ramai. Tulisan-tulisan bodek tidak akan mengancam menggelodakkan fikrah yang beku. Kerja-kerja seni membodek tidak akan mengusik jiwa. Novel-novel, cerpen-cerpen, puisi-puisi yang muncul hasil daripada peraduan membodek tidak akan ada sesiapa yang akan membeli atau membacanya. Malah, jika buku-buku bodek ini ini diberikan percuma besar kemungkinan buku ini akan menjadi penyelak pintu atau pengalas cerek panas. Inilah hakikatnya hasil kerja seni bodek. Justeru kita tidak boleh menyalahkan manusia Melayu sebagai manusia yang malas membaca. Mereka malas membaca buku-buku yang tidak ada kaitan dengan kehidupan mereka. Mereka culas membaca kerana mereka merasakan buku-buku ini tidak memberikan apa-apa manfaat kepada kehidupan mereka. Bayangkan jika buku-buku atau kerja-kerja seni ini ada kaitan dengan kehidupan mereka, pasti manusia Melayu ini akan berhenti, melihat dan cuba mendengar apa yang cuba disampaikan oleh buku buku ini. Jika sebuah puisi itu indah dan ada hubungan dengan perjuangan kehidupan manusia Melayu, pasti puisi ini akan dihayati. Apa yang diinginkan oleh warga Malaysia khasnya manusia Melayu hari ini adalah buku-buku dan kerja-kerja seni yang temanya memaparkan perlawanan. Buku-buku yang mengajukan tema perlawan terhadap penindasan. Perlawaan ini perlawanan manusia Melayu yang tertindas dalam kehidupan harian mereka. Kehidupan harian yang mereka lalui dan alami. Justeru dengan sendirinya mereka akan dapat memahami dan menghayati kerja seni ini. Bukan buku-buku yang berkhayal tentang kehidupan orang-orang kaya yang tidak ada talian dengan majoriti manusia Melayu. Puisi-puisi yang mengajukan tema penentangan terhadap kezaliman. Atau lagu-lagu yang menggerakkan nadi dan jiwa mereka untuk bangun melawan. Atau syair dan sajak yang melakar kehidupan mereka yang saban hari bertempuran dengan kezaliman dan penindasan. Jika tema ini yang digarap oleh para seniman, pasti kerja seni mereka merebak luas. Contoh terbaik hari ini - tema besar yang sedang terpampang dalam dunia Melayu hari ini ialah konspirasi untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim. Inilah tema besar yang tidak mungkin dapat disorok-sorok. Tema ini sedang menunggu penulis, penyair, pemusik, pelukis untuk digarap seseni mungkin. Jika para penulis, seniman, saterawan, pelukis dan penggiat teater gagal untuk melihat tema yang besar ini, maka jangan marah kepada manusia Melayu. Jangan marah apabila buku tidak ada orang beli. Jangan marah apabila lagu tidak ada sesiapa mendengar. Jangan kecewa apabila pameran lukisan hanya dilihat sebagai pameran syok sendiri. Jangan marah jika tidak ada sesiapa ambil pot terhadap buku puisi bodek yang tidak ada siapa ingin membeli. Hakikatnya manusia Melayu hari ini mahu mendengar bunyi dan suara laungan perjuangan. Manusia Melayu mahu mendengar pekikan perlawanan. Manusia Melayu telah jelak dengan puisi bodek dan cinta. Manusia Melayu telah jelak dengan irama ampu dan cium tangan. Seniman yang melakar dan menggarap tema perjuangan adalah seniman yang akan dinobatkan oleh manusia Melayu.
Hishamuddin Rais
Mac 29, 10
7:49pm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment